Enggan beri kerjasama, Chegubard ditahan

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ditahan kerana beberapa kali enggan hadir memberi kenyataan kepada polis berhubung siasatan terhadap enam laporan dibuat terhadapnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Zain, berkata antara siasatan terhadap Badrul termasuk berkait isu Ambalat, pendedahan harta dimiliki Anwar Ibrahim dan kes kebocoran dokumen sebuah jabatan kerajaan.

Katanya, Badrul juga disiasat berkaitan kenyataannya yang mempersoalkan kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).

“Polis sudah beberapa kali memanggil Badrul untuk merakam percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan. Badrul terima notis tetapi menyatakan beliau enggan hadir.

“Kami tiada pilihan dan memohon waran tangkap berhubung kes ini. Tangkapan beliau juga tiada kaitan dengan penganjuran perhimpunan Sabtu ini,” katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi .

Beliau berkata, Badrul ditahan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas mendapat waran tangkap dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Katanya, polis akan menyelesaikan soal siasat dalam tempoh 24 jam pertama selepas penahanan kira-kira 8 malam tadi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi, ketika mengesahkan perkara itu kepada FMT berkata Chegubard ditahan ketika mahu menghadiri mesyuarat berkait perhimpunan tersebut.

Pemuda PN mengumumkan perhimpunan “Selamatkan Malaysia” akan diadakan Sabtu ini bagi membantah keputusan melepas tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah.

Perhimpunan itu pada mulanya dirancang diadakan di luar pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, tetapi Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, dilaporkan berkata mereka terbuka menukar lokasi di Bukit Bintang.

Bagaimanapun, polis berkata pihaknya tidak menerima sebarang permakluman untuk mengadakan perhimpunan itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*