Orang ramai diingat untuk tidak terjerat dengan taktik ugutan penipuan atau scammer yang mendakwa gambar mereka tersebar dalam kumpulan WhatsApp dan Telegram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia adalah antara taktik baharu scammer yang dikesan pihak polis.
“Individu ini menerima mesej dikatakan kononnya menjadi mangsa bahawa gambarnya ada di dalam ‘group’ lucah.
“Ini semua permainan psikologi dan yang lemah akan terus mudah menjadi mangsa hingga mengalami kerugian wang ringgit.
“Jadi, dalam memilih untuk tidak rugi, maka seseorang itu perlu kuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, ada juga taktik di mana mangsa menerima mesej berbaur lucah dan seumpamanya, namun apabila dilayan, mesej berubah menjadi ugutan kononnya mangsa bertukar-tukar mesej dengan isteri orang.
Katanya, ada mangsa yang terjerat dengan taktik sebegini hingga akhirnya menyerahkan wang.
“Helah sebegini digunakan untuk memperdaya orang sehingga menyebabkan kerugian.
“Ini adalah satu kesalahan serius yang boleh disabitkan.
“Jika dulu penipuan kebanyakan bersemuka dan pembuktian melibatkan kata-kata, sekarang penipuan secara dalam talian selalunya boleh dijejaki semula dan pelaku diingat usah fikir mereka akan terlepas,” ujarnya.
Leave a Reply