Elak miliki ‘harta luar biasa’, penjawat awam perlu isytihar harta – Sultan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan penjawat awam di negeri itu daripada peringkat bawahan hingga ke atasan supaya hidup dalam kadar mengikut kemampuan sendiri.

Sultan Ibrahim berkata peringatan itu adalah bagi mengelakkan mereka terbabit dalam rasuah.

Baginda berkata semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ia satu daripada cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa.

“Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” kata baginda kepada Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

Sultan Johor berkata Ketua Polis Negara Razarudin Husain turut membangkitkan perkara sama bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah.

Baginda berkata penjawat awam di negeri ini perlu sentiasa menerapkan integriti tinggi yang mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.

“Penjawat awam perlu hidup dalam kemampuan sendiri dan perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan pihak berkuasa.

“Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah Sultan Johor.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*