Elak jadi ‘lauk’, Harimau Malaya perlukan pemain JDT

Elak jadi ‘lauk’, Harimau Malaya perlukan pemain JDT. Kualiti individu yang dimiliki barisan pemain Thailand berbanding Malaysia disifatkan menjadi tunjang utama skuad itu berjaya merebut tiket ke final Piala AFF 2022.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan barisan pemain Thailand menunjukkan permainan yang lebih berkualiti terutama dari segi kawalan bola dan hantaran ‘membunuh’.

Enggan menidakkan kesungguhan pemain Malaysia, Jamal bagaimanapun berpendapat bahawa pemain Harimau Malaya kekurangan dari aspek kawalan bola berbanding skuad Gajah Perang.

Justeru, dia tidak menyalahkan taktikal ketua jurulatih, Kim Pan Gon dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, semalam yang menyaksikan Thailand menang 3-0 dan mara menerusi agregat 3-1.

Kekurangan kita sebab kita terlalu banyak hilang bola. Kita tak boleh kawal bola lama, empat atau lima kali (buat hantaran) hilang bola. Kita cepat nak lepaskan bola kerana kita tak yakin kita boleh pegang bola.

Bila kerap hilang bola, stamina banyak pun tak cukup. Saya bercakap berdasarkan fakta dan bukannya mahu menidakkan usaha pemain kita yang mana kita juga harus memuji semangat pemain Harimau Malaya kali ini walaupun dibarisi ramai muka baharu.

Kita juga faham pemain yang ada (dalam skuad Piala AFF 2022) ramai pemain baharu, jadi mungkin mereka masih gugup bermain di pentas antarabangsa terutama melawan Thailand dan Vietnam yang berada di ranking lebih tinggi.

“Nak kata jurulatih buat tak betul ke apa tak boleh juga sebab bila anda tak ada material, anda nak buat macam mana? Jurulatih nombor satu dunia pun tak boleh buat,” katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Selain itu, Jamal turut mengakui bahawa Harimau Malaya memerlukan pemain terutama yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk digabungkan dengan beberapa pemain dalam skuad Piala AFF 2022 bagi memperkuatkan pasukan menghadapi Piala Asia 2023.

Katanya, perkembangan positif pada kejohanan Piala AFF kali ini adalah ia dapat menyerlahkan beberapa pemain termasuk Faisal Halim, Brendan Gan, Stuart Wilkin, Mukhairi Ajmal Mahadi dan V Ruventhiran yang boleh dikekalkan untuk Piala Asia nanti.

Bagi Piala Asia nanti sudah pasti kita kena cari yang terbaik untuk mempersiapkan satu pasukan mantap. Saya berasa majoriti mesti datang dari JDT.

“Masih banyak lagi ilmu perlu ada di dada, tapi kita patut bagi ruang dan peluang mereka bermain dan saya yakin ramai yang bermain semalam (kelmarin) atau di Piala AFF 2022 boleh pergi jauh dengan syarat perlu tingkatkan prestasi, maknanya berusaha untuk dapatkan tempat dalam skuad Piala Asia,” katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pengalaman dimiliki pemain Thailand selain sudah lama beraksi bersama dalam skuad itu menjadi perbezaan mereka dengan pasukan yang dibawa Pan Gon.

Malah, Kim Swee berkata, Pan Gon sudah melakukan taktikal yang baik dan menganggap jaringan kedua Thailand daripada Bordin Phala pada minit ke-55 mengubah permainan Harimau Malaya yang perlu mencari jaringan untuk memadam kelebihan skuad Alexandre Polking.

“Saya percaya Pan Gon cuba bermain secara selamat bukan secara bertahan. Tetapi apabila kita dibolosi, suasana dan keadaan jadi berbeza. Mungkin percaturan yang betul, cuma bola sepak ini perkara biasa kadang-kadang kita buat pelan A tak jadi, pelan B pun tak jadi dan akhir sekali kita terpaksa akur.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*