: Menjelang pengumuman barisan EXCO kerajaan negeri esok, desas-desus tidak puas hati kedengaran dalam kalangan BERSATU apabila hanya tiga jawatan itu diperuntukkan kepada parti berkenaan.
Jumlah itu dilihat kurang berbanding sebelum ini lima wakil BERSATU membarisi senarai EXCO kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad dijangka dilantik semula ke jawatan EXCO, selain dua muka baharu dari BERSATU.
Dua lagi ADUN mewakili BERSATU itu yang akan dilantik itu berkemungkinan besar adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Datuk Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).
Sumber dalam BERSATU berkata pihaknya kesal apabila hanya tiga wakil parti itu bakal dilantik ke jawatan EXCO selepas menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada 12 Ogos lalu.
“Kami sangat kecewa dan kesal apabila dimaklumkan hanya diperuntukkan tiga jawatan EXCO sedangkan pada penggal lalu, kami diberikan lima jawatan termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Kami tidak mahu apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila hanya masing-masing satu jawatan EXCO diberikan kepada wakil BERSATU, sedangkan kami sama-sama bekerja untuk PN di negeri terbabit,” katanya kepada BH.
Kelmarin, media melaporkan majlis angkat sumpah EXCO Kedah dijangka diadakan di Istana Anak Bukit esok.
Sebelum ini BERSATU mempunyai lima wakil dalam senarai EXCO. Selain Halimaton, empat lagi adalah Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Datuk Azman Nasrudin, Mohd Firdaus Ahmad dan Dr Robert Ling Kui Ee.
Bagaimanapun Ku Abd Rahman dan Azman tidak bertanding pada PRN lalu, apabila masing-masing menang kerusi Parlimen Kubang Pasu dan Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Firdaus dan Dr Robert pula tidak bertanding kerana mahu memberi laluan kepada muka baharu, begitu juga Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat.
Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan wakil tunggal GERAKAN yang menang dalam PRN di Kedah boleh dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri.
Beliau berkata, wakil parti itu, Wong Chia Zhen, yang menang di kerusi DUN Kulim akan dipertimbang untuk mengisi portfolio bersesuaian.
Leave a Reply