Dua rakyat Malaysia dihantar pulang selepas 20 tahun ditahan di Guantanamo

Dua rakyat Malaysia yang mengaku bersalah pada Januari lalu bersubahat dalam serangan bom di Bali 2002 pulang ke tanah air selepas hampir 20 tahun ditahan di pusat tahanan Guantanamo Bay yang dikendalikan Amerika Syarikat.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan perpaduan menerima Nazir Lep dan Farik Amin daripada pihak berkuasa AS berdasarkan ‘prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat’.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan di Guantanamo Bay sejak 2006.

“Kerajaan merangka program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu ini, merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan kebajikan, dan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazir, 47, dan Farik, 48, ditahan dalam kurungan sendirian sejak ditangkap pihak berkuasa AS di Thailand pada 2003 berhubung pengeboman Bali setahun sebelumnya.

Pada Januari lalu, mereka dijatuhi hukuman penjara 23 tahun oleh juri selepas mengaku bersalah atas peranan mereka dalam serangan itu melalui perjanjian pra-perbicaraan. Di bawah perjanjian itu, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan dihantar ke negara ketiga.

Kedua-duanya mengaku bersalah bersubahat dengan ‘dalang utama’ warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang juga dikenali sebagai Hambali, untuk melaksanakan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa.

Terdahulu hari ini, Washington memaklumkan bahawa Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, memaklumkan kepada Kongres bulan lalu mengenai hasrat untuk menghantar pulang Nazir dan Farik.

Pusat tahanan Guantanamo Bay ditubuhkan pada 2002 untuk menahan suspek pengganas selepas serangan ke atas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York setahun sebelumnya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*