DSAT Group bakal saman MB Kedah RM1 bilion

KUALA LUMPUR: DSAT Group Sdn Bhd, yang sebelum ini bercadang mahu mengambil alih pasukan bola sepak, Kedah Darul Aman (KDA) FC, akan memfailkan saman RM1 bilion ($300 juta) terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek, menyatakan demikian dalam hantaran di Facebook milik beliau.

“DSAT Group memutuskan akan saman MB Kedah RM1 bilion atas kenyataannya pada 7 November 2024 di MPSPK (Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah). See you in court (Jumpa anda di mahkamah),” tulisnya dalam hantaran itu pada 18 November.

Ia merujuk kepada kenyataan Datuk Sanusi pada 7 November semasa sidang media di MPSPK, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada sidang media itu, Datuk Sanusi berharap mana-mana syarikat yang mahu mengambil alih pasukan bola sepak negeri itu supaya benar-benar berkemampuan untuk melakukannya dan bukan scam (penipu).

“Kalau ada kemampuan, silakan. Kita harap dan berdoa dia ada kemampuan, jangan scam-lah, belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah.

“Macam scammer tak baguslah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (kerajaan negeri)… dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau Exco Sukan… perlu jumpa pihak peguam KDA,” katanya.

Sebelum ini, DSAT Group menerusi anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) menyatakan hasrat untuk mengambil alih KDA FC yang berdepan masalah kewangan termasuk tunggakan gaji pemain serta pegawai.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, pada mulanya bersetuju apabila meminta MMC berunding dengan peguam kelab, tetapi kemudian menarik semula pelawaan itu.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*