Dr Noor Hisham sahkan 2 varian Covid-19 menular di China dikesan di Malaysia

Dr Noor Hisham sahkan 2 varian Covid-19 menular di China dikesan di Malaysia. Dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80% daripada varian yang menular di China ketika ini dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat 31 Dis lalu terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bagaimanapun, beliau berkata belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian.

“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai subketurunan Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Keturunan Dalam Pemantauan (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bagaimanapun, kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, situasi itu akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam dan ia akan diumumkan segera oleh WHO kepada semua negara anggota serta penduduk dunia secara am.

Varian BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

Hisham berkata, hasil survelan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia sepanjang Dis 2022 menunjukkan varian XBB mendominasi penularan Covid-19 di negara ini.

Varian XBB merangkumi 55.4% daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan 17 genom diikuti varian BA.2.75 (20.8%) dan BQ.1 (10.8%).

“Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober 2022.

“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya.

 

Dr Noor Hisham sahkan 2 varian Covid-19 menular di China dikesan di Malaysia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*