Dituduh salah guna wang infak, Alif Teega ‘kekal tenang’, mengaku tak salah

Dituduh salah guna wang infak, Alif Teega ‘kekal tenang’, mengaku tak salah. Pempengaruh media sosial Mohd Hazalif Hazani, atau lebih dikenali sebagai Alif Teega, hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan menyalah guna lebih RM60,000 wang yang diperoleh daripada kutipan program infak tahun ini.

Mohd Hazalif, 30, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin, di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari pada 26 April lepas.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi Program Jom! Sertai Infak Daging Qurban di bank sama pada 15 Jun lepas.

Mohd Hazalif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tuduhan dibacakan semula selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin lepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan bersama 10 tuduhan lain, manakala wang jaminan berjumlah RM50,000 dilanjutkan.

Pada 23 Sept lepas, Mohd Hazalif dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 tuduhan salah guna wang derma berjumlah RM1.52 juta, antaranya bagi tujuan infak kurma, infak al-Quran serta infak pek makanan untuk fakir miskin di Makkah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu serta set pakaian raya anak yatim.

Terdahulu, Julaila memohon mahkamah mengekalkan tarikh sebutan penyerahan dokumen pada 27 Nov depan manakala wang jaminan RM50,000 yang dikenakan ke atas Mohd Hazalif dilanjutkan.

Mohd Nasir kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan selepas peguam Mohd Shahrullah Khan, yang mewakili pempengaruh itu, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*