Dilema ‘mak janda’ yang ramai terlepas pandang

Sepotong dialog di atas adalah sekeping kartun lerang karya kawan saya yang saya baca di media sosial. Ia langsung mengingatkan saya kepada beberapa dialog lain selain daripada kartun yang saya baca itu. Dialog sebegitu juga ada di atas pentas, di drama TV dan juga di filem. Perihal wanita berstatus janda yang selalunya berkonotasi negatif pada mata masyarakat kita.

Jangan tak percaya. Ini bukan dalam drama TV sahaja. Yang sebetulnya drama TV yang kita tonton itu merakam kenyataan dalam kehidupan keliling-kelalang kita. Wanita berstatus janda amat dicurigai oleh wanita-wanita lain yang dirasakan akan menggugat kedudukan mereka manakala bagi ‘jantan-jantan’, ia adalah peluang untuk cuba masuk jarum kalau-kalau ‘dapat’ kerana bagi mereka janda-janda ini sebenarnya sentiasa di dalam kehausan. Seks – skandal – sondol. Itu yang selalu dikaitkan terhadap janda-janda. Ini penyakit lama yang masih menyaluti minda kebanyakan kita.

Lalu, saya teringat sebuah cerita pahit ketika saya kanak-kanak dahulu. Di hujung kampung kami tinggallah Kak Tila. Dari situlah saya mula kenal apa maksud janda kerana setiap kali namanya dipetik dalam perbualan atau umpatan oleh kaum ibu, mereka menggunakan ganti nama Kak Tila sebagai ‘janda tu’. Kalau saya terdengar kaum lelaki berbual tak kira geng bujang atau pak cik-pak cik yang sudah berkahwin, mereka menggunakan gelaran Tila Janda. Kisah yang dijaja oleh mereka selalunya tak enak didengar. Jiwa kanak-kanak saya berasa hairan dan kemudian saya berasa simpati terhadap Kak Tila.

Kak Tila tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Suaminya lari entah ke mana. Kak Tila mempunyai seorang anak lelaki yang saya ingat muda dua tiga tahun sahaja daripada saya tetapi anaknya bisu. Nah! Bukankah itu pakej yang cukup untuk dihina orang ramai? Janda – tak sekolah tinggi – kuli di sebuah restoran di pekan – mak sudah tua – ada anak tetapi cacat. Macam dalam drama TV, kan?

Kerana Kak Tila, suami isteri boleh bergaduh. Kerana Kak Tila, lelaki sama lelaki boleh bertumbuk. Kerana Kak Tila, semua kes buruk boleh dihempap kepada dia dan anaknya.

“Yang awak pergi tumpangkan anak ‘janda tu’ balik sekolah buat apa? Awak nak sangat ke ‘janda tu’?” jerit seorang mak cik di kampung kami memarahi suaminya. Nada pada perkataan ‘janda tu’ ditekankan bagi menunjukkan betapa hinanya Kak Tila.

“Kau jangan kacau Tila Janda. Itu aku dah ‘cop’ dulu. Kalau kau nak mampus, cubalah!” jerkah mat samseng kampung kepada mamat kampung sebelah yang dilihat cuba mengayat Kak Tila di restoran tempat Kak Tila bekerja.

Walaupun belum menginjak remaja saya terkesan melihat nasib Kak Tila. Saya nampak sendiri pak cik-pak cik miang merenyam bergurau lucah di meja restoran.

“Tila! Karipap ada lagi? Abang nak karipap. Karipap panas,” gurau seorang pak cik, bekas pesara kerajaan sambil terkekeh-kekeh ketawa bersama kawan-kawan. Tila hanya tersengih-sengih. Agaknya nak jawab salah, tak jawab pun salah. Kalau dijawab makin menjadi-jadi. Pak cik dan kawan-kawan terus berlawak lucah. Karipap, susu, kuih pau atau apa saja subjek yang boleh dilucahkan, mereka sebut. Telinga kecil saya geli mendengarnya. Semudah dan semurah itu Kak Tila dibuat oleh mereka. Dan Kak Tila harus menghadap mereka setiap hari.

Dalam kalangan kaum wanita kampung pun saya melihat sebuah kepura-puraan. Jika ada kenduri-kendara baik di rumah atau di masjid, Kak Tila pun turut menolong memotong cili dan mengupas kentang. Dia biasa sahaja berbual dan bergurau dengan kaum wanita yang sama-sama menolong. Tapi, itu bila berdepan. Di belakangnya, dia diumpat keji. Kalau berpakaian cantik dia dikata, kalau selekeh lagilah. Kalau bersolek dikutuk, tak bersolek lagilah!

Kami ini kanak-kanak memanglah nakal tetapi penilaian orang tak sama dengan anak Kak Tina yang bisu itu. Jika Talib buat hal, kemarahan orang terhadapnya luar biasa. Dia dihina dengan kata-kata pedih ‘anak tak berbapak’, bodoh, cacat, miskin dan ‘anak janda’. Hina gelaran tersebut sudah hampir sama dengan gelaran anak haram. Adakalanya kepala Talib diluku oleh orang tua dengan selamba. Menyeringai dibuatnya si Talib menahan sakit sambil menggosok-gosok kepalanya.

“Kau ni beranak je tau. Jaga anak tak tau. Ada laki, laki pun cabut lari!”

Selancar itu mulut orang melempar kata nista kepada Kak Tila. Pernah saya nampak Kak Tila menangis di sudut masjid ketika orang ramai sibuk berkenduri. Entah kenapa, tak berani saya tanya. Barangkali kerana sebab-sebab seperti yang saya kata itulah. Barangkali orang lain pun nampak tetapi melihat orang lemah menangis bukankah sesuatu yang amat memuaskan hati?

Beberapa tahun kemudian setelah ibunya meninggal dunia, saya dengar Kak Tila telahpun membawa Talib berpindah ke Shah Alam. Waktu itu era kilang elektronik sedang tumbuh banyak. Khabarnya dia lari, tak mahu lagi duduk di kampung kerana membuat onar. Ada yang kata dia curi duit restoran tempat dia bekerja. Ada yang kata dia dihalau oleh isteri tauke restoran kerana isteri tauke ternampak Kak Tila cuba menggoda suaminya yang rongak dan berperut gendut. Entahlah! Macam saya kata. Wanita janda tak bersekolah tinggi yang miskin dan ada anak cacat; pakej lengkap untuk dihina dan dikambinghitamkan!

Dari dialog kartun yang saya baca, drama yang saya tonton, dan sekarang tinggal semula di kampung – suasana seperti itu masih ada. Tanggapan masyarakat terhadap janda masih ada. Saya sangkakan masyarakat kita makin baik, maklumlah pelajaran makin tinggi, sumber ilmu sudah banyak. Bukan hanya di TV, di media sosial pun ada banyak video ceramah agama tentang ‘man ikhwanuka?’ atau ‘siapakah saudara kamu?’ – soalan di dalam kubur yang hanya mampu dijawab oleh iman kita dengan fasih jika kita benar-benar mengamalkannya.

Atau tak pernah dengarkah ustaz mengajar hadis tentang ‘tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri’? Saya sudah menghafal hadis ini ketika di Tingkatan 4 sebab ia adalah hadis yang dijangka keluar dalam soalan SPM mata pelajaran agama.

Tidak terlintas dalam fikiran kita betapa berhempas-pulasnya Kak Tila bekerja dengan gaji tak seberapa menanggung ibu yang uzur dan belanja sekolah anak. Jika pun tak mahu membantu usahlah dihempuk kepalanya dengan curiga-curiga tak berasas yang direka oleh kita sendiri. Ternyata sifat khianat dalam diri telah mengatasi sifat belas kasihan.

Namun, memang sudah lumrah hidup manusia begitu. Apabila dia berasa dia ada sedikit kelebihan berbanding seseorang yang lainnya, dia akan membuli pihak yang lemah. Dalam hal ini orang seperti Kak Tila adalah sehina-hina manusia. Bagi kaum lelaki, Kak Tila dibayangkan murah dan hauskan seks, jika pandai pujuk boleh dapat. Bagi kaum wanita khususnya yang sudah berkeluarga mereka risau tempat mereka akan dirampas oleh perempuan seperti Kak Tila.

“Apa kau ingat pakej yang kau sebutkan tu sahaja yang dipandang hina oleh masyarakat kita? Aku ni?” rungut kawan saya Jun.

Saya terkedu. Jun, juga seorang janda yang punya anak tetapi Jun berpelajaran tinggi, berpangkat besar dan berharta.

“Kau pun orang jahat ke Jun?” tanya saya dalam bentuk gurauan tetapi serius.

Jun mengangguk. Astaga! Jun yang berada di liga berbeza juga tidak terlepas daripada fitnah dan syak wasangka sehingga sukar untuk dia bergerak selesa. Mata jiran, kawan sepejabat, keluarga dan saudara-mara seperti anak panah yang bila-bila masa sahaja hendak menikam janda seperti dia. Di ‘inbox’ media sosial, kerap dia terima mesej menggoda daripada lelaki-lelaki tua suami orang. Saya mengucap panjang dan bertanya, kenapa mereka sering menjadi sasaran? Dan mengapa kita boleh berada di dalam masyarakat begini, hah?

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*