Dibiar meniarap sejam tanpa pengawasan, bayi 2 bulan maut di bawah jagaan pengasuh taska

SEORANG bayi berusia dua bulan maut pada Selasa lalu ketika dipercayai berada di bawah jagaan pengasuh dekat sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Difahamkan, insiden menimpa mangsa berlaku ketika dia baru sahaja memasuki hari kedua di pusat jagaan berkenaan.

Kejadian malang yang menimpa bayi tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu kepada bayi berkenaan menerusi satu video dimuatnaik di akaun Facebooknya, Asha Rosli pada Sabtu.

Dibiar meniarap sejam tanpa pengawasan, bayi 2 bulan maut di bawah jagaan pengasuh taska
Ibu bapa mangsa menatap wajah bayi tersebut ketika proses pengurusan jenazah.

Menurutnya, pada hari insiden tersebut, bayinya dihantar ke pusat jagaan tersebut dalam keadaan yang masih sihat dan ceria.

“…(kemudiannya) hanya tangisan mengiringi empat jam kemudian. Punca kematian mungkin disebabkan kesukaran bernafas.

“Berdasarkan CCTV (kamera litar tertutup), pengasuh dipercayai meletakkan Aulia di poisi meniarap untuk satu jam tanpa pengawasan.

“Dengan keadaan dibedung, posisi badan meniarap sukat untuk aulia bernafas. Tengok CCTV, 10 minit juga Aulia struggle (susah) berjuang,” tulisnya menerusi video tersebut.

Dakwa wanita tersebut, rakaman CCTV di taska itu menunjukkan kemungkinan wujud unsur kecuaian pengasuh di premis berkenaan ketika menjaga anaknya.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika bapanya tampil ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bayi malang berkenaan sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan semasa diambil daripada taska terbabit.

Menerusi laporan berasingan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Ujarnya, pihak polis sebelum itu menerima maklumat daripada hospital berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata, ekoran daripada itu, pengasuh berusia 40-an berkenaan sudah ditahan untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Pada masa sama, Muhamad Fakhrudin berkata, pihaknya setakat ini sudah merakam keterangan daripada tiga individu termasuk ibu bapa mangsa dengan proses siasatan sedang dilengkapkan.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*