Di sebalik imej mewah dan gaya hidup glamor, ramai individu sebenarnya bergelut dengan beban hutang hanya untuk memenuhi tekanan sosial.
Menurut perkongsian Ali Daud di Facebook, kebanyakan orang yang memandu kereta mewah sebenarnya tidak semestinya hidup selesa.
Sebahagian besar hanya mampu memberikan wang pendahuluan yang kecil dan melanjutkan tempoh pinjaman ke tahap maksimum untuk mendapatkan bayaran bulanan yang rendah.
“Semuanya kerana tekanan sosial. Ada yang sanggup lakukan ini hanya untuk kelihatan berjaya di mata keluarga, rakan sekerja dan kelompok sosial mereka,” tulisnya.
Dia turut menekankan bahawa golongan yang benar-benar mampu biasanya membeli kereta secara tunai atau mempunyai strategi kewangan yang bijak.
Tetapi bagi mereka yang sebenarnya tidak mampu, keputusan ini hanya membawa kepada beban hidup yang berat, termasuk pengorbanan besar untuk menampung gaya hidup mewah.
“Kadang-kadang bila tengah bulan, poket kering. Sampai nak makan pun kena catu. Ada yang hanya makan nasi dan kicap walaupun kereta mereka mahal,” kongsinya.
Selain itu, hantaran ini turut menyentuh tentang budaya tekanan dalam dunia perniagaan dan jualan, di mana sesetengah ketua pasukan mendesak ahli mereka untuk berhutang sebagai motivasi mengejar sasaran jualan.
“Tanpa sedar, mereka menjadikan pasukan mereka hamba kepada bank. Siapa yang pernah lalui tu akan faham. Dulu saya pernah rasai juga,” katanya.
Ali menutup hantaran dengan peringatan agar masyarakat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan.
Dia menggalakkan pembaca untuk memastikan kemampuan sebenar sebelum bermewah, bagi mengelakkan penyesalan yang berpanjangan.
“Nak bermewah tak salah. Pastikan kita benar-benar mampu dan perlu. Kalau tak nanti akan jadi penyesalan yang tak berkesudahan,” tegasnya.
Baca juga :
Leave a Reply