DEWAN PANAS !! MP PN bikin kecoh dakwa Saifuddin keluar kenyataan fitnah

Sidang Parlimen bertukar tegang selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membangkitkan sentimen agama Islam dalam politik.

Dilihat sebagai rujukan tersirat kepada PAS, Saifuddin berkata persaingan politik sepatutnya berfokus kepada dasar dan ideologi, bukannya kaum dan agama.

Dia membangkitkan ahli politik yang menggunakan isu agama untuk menarik pengundi sebagai contoh – menyokong mereka bermaksud menyokong Islam dan menentang mereka bermaksud menentang agama tersebut.

“Berbeza politik tetapi diberi konotasi seolah-olah berbeza akidah…

“Keadaan tak boleh macam ini. Islam agama keamanan, kasih sayang, agama yang mengharapkan kita untuk hormat menghormati.

“Ini agama indah tetapi akhlak dan pembawaan politik kita memutar belit ajaran Islam,” katanya.

Kenyataan itu mengundang celahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang mendakwa Saifuddin memfitnah dan “cakap benda mengarut”.

Ahli parlimen PAS itu juga berkata Saifuddin berniat jahat dengan membuat kenyataan tersebut dan tidak selaras dengan kedudukannya sebagai menteri.

“Menteri sepatutnya memberi idea dan pandangan yang bermanfaat dan menyelesaikan masalah yang berlaku dalam negara, dalam sudut ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan sosial.

“Bukan mengeluarkan pandangan yang cuba menajamkan pertembungan,” katanya.

Saifuddin kemudian bertanya bagaimana dia berbuat demikian dengan hanya menyatakan islam sebagai agama yang menyeru keamanan dan sikap saling menghormati.

“Salah bila berkata (sesuatu) mengandungi unsur fitnah dan bertujuan jahat,” balas Zulkifli.

Beberapa ahli parlimen dari kedua-dua pihak kemudian menyertai pertikaman lidah tersebut.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian meminta timbalan speaker Ramli Mohd Nor agar mengarahkan Zulkifli menarik balik perkataan “fitnah” dan “mengarut” yang diutarakannya.

Zulkifli membantah permintaan itu, menegaskan dia tidak melakukan kesalahan apabila berpandangan Saifuddin membuat kenyataan berunsur fitnah.

Namun dia kemudian menarik balik perkataan itu setelah diingatkan berkenaan akibat daripada tindakannya.

Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian berkata Rayer tiada hak untuk mencelah dalam perbahasan itu memandangkan dia bukan beragama Islam.

Dia juga meminta Rayer menarik balik perkataan “biadab” yang dilontarkannya kepada Zulkifli sebelum itu.

Rayer menarik balik kenyataannya selepas diminta Ramli. Tidak lama kemudian Sany Hamzan (Harapan-Hulu Langat) pula bangun untuk mencelah.

Selepas beberapa minit pertikaman lidah antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, Ramli mengeluarkan amaran kepada Sany dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*