Dek cemburu, guru tadika cedera dibelasah suami

Seorang guru tadika cedera dipukul dan ditendang gara-gara suami mengesyakinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata, insiden itu berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang Mewah, di sini, kelmarin, kira-kira pukul 10.30 malam.

Katanya, mangsa, 38, berselisih faham dengan suaminya yang semasa itu dalam keadaan mabuk selain dituduh mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Suspek kemudiannya memukul pada bahagian belakang badan dan menendang pengadu.

“Semasa kejadian, suspek juga ada mengacukan pisau ke arah pengadu dan kejadian itu disaksikan anak pasangan berkenaan,” katanya.

Menurut Mohd Azam, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan pengadu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher.

“Susulan aduan diterima, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Ampang Jaya menahan suami mangsa di kediaman mereka pukul 10.30 malam tadi.

“Saringan ujian air kencing mendapati mekanik berusia 45 tahun itu negatif penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” jelasnya.

Tambahnya, suspek direman tiga hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan keganasan rumahtangga.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*