‘Debek’ benar Annuar kalau anak sendiri tak ikut masuk PAS – Umno K’tan

Umno Kelantan menyaran Annuar Musa mengajak anaknya menyertai PAS terlebih dahulu sebelum berkempen kepada orang lain supaya mengikut jejaknya.

Ketua Penerangannya, Zawawi Othman, berkata dengan cara itu pihak lain akan menyakininya untuk bersama meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

“Kalau anaknya sendiri tidak yakin dengan tindakannya itu, apatah lagi orang lain. Bak kata orang Kelantan, ‘debek’ benar kalau anak sendiri pun tak ikut dengan perjuangan ayahnya.

“Ini prasyarat penting untuk membuktikan keihklasannya. Mungkin juga Annuar ingin sertai PAS untuk mencari tapak sebagai calon dalam PRN nanti,” katanya.

Hari ini, Annuar yang juga bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) mengesahkan bahawa beliau menghantar permohonan bagi menyertai PAS.

Annuar berkata, borang permohonan keahlian bagi menyertai PAS sudah dihantar beberapa bulan lalu dan masih belum mendapat kelulusan.

Malah, Annuar juga mendakwa membawa 1,000 individu lain menyertai PAS.

Mengulas lanjut, Zawawi turut mengingatkan Annuar supaya tidak bersikap ‘propa’ dengan sekadar menyebut angka ahli Umno yang akan menyertai PAS.

“Kita sudah masak dengan cara beliau. Saya juga ingin mengingatkan kepada PAS supaya berhati-hati dengan langkah Annuar ini.

“Umno sudah masak dengan ragam dan perangai beliau. Silap haribulan PAS pula akan terjerat dengan permainannya,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*