Dakwaan Malaysia ke arah negara sekular berniat jahat

Dakwaan mana-mana pihak mengenai hala tuju negara inni kononnya ke arah sekularisme adalan tindakan berniat jahat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya sejak sekian lama pendirian Malaysia ialah menolak fahaman sekularisme yang memisahkan agama dan kerajaan sepenuhnya.

Hal itu, menurut sentor terbabit sudah ditegaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu sebarang dakwaan yang mengatakan Malaysia kini ke arah sekularisme, atau menakut-nakutkan rakyat bahawa gerakan dakyah agama lain ke atas umat Islam dibenarkan atau digalakkan adalah tidak benar sama sekali serta berniat jahat bagi menghasut serta mengeruhkan hubungan aman, damai dan harmoni di antara masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im berkata semua parti politik yang sah di Malaysia menerima prinsip asas perlembagaan di negara ini yang mengiktiraf serta melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, hak keistimewaan Melayu dan bumiputera serta kedudukan bahasa Melayu.

“Kita boleh berbeza pendapat tentang idea, dasar dan pentadbiran tetapi janganlah semata-mata bermusuhan kerana identiti, kaum dan agama.

“Perbuatan terus-menerus menghasut dan mengajak kepada kebencian dan permusuhan serta mencabuli larangan 3R (institusi raja, kaum dan agama) adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip Islam,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*