Dakwaan cuai isu projek carigali : PM bidas Muhyiddin ‘malas membaca’

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwanya cuai mengeluarkan kenyataan berhubung projek carigali Petronas di Laut China Selatan, di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Beliau mengesyaki Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak membaca kenyataan penuhnya berhubung perkara tersebut sambil membuat andaian sendiri.

“Muhyiddin tak baca kenyataan itu yang mana saya cakap, kita akan teruskan projek carigali Petronas itu, noktah.

“Tak ada langsung saya sebut nak tolak ansur (dengan kerajaan China) dan saya sampaikan mesej ini kepada pemimpin kerajaan China yang beliau (Muhyiddin) tidak sampaikan (ketika menjadi Perdana Menteri),” katanya dalam sidang akhbar.

Muhyiddin pada Khamis mendakwa Anwar yang mengeluarkan kenyataan kerajaan akan berbincang dengan kerajaan China berhubung projek carigali, di kawasan yang dikatakan berdepan pertindihan tuntutan antara kedua-dua negara.

Menurutnya, Anwar tidak sepatutnya berkata demikian sebagai seorang Perdana Menteri kerana dikhuatiri akan memberikan implikasi seolah-olah memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kerajaan akan membuat perbincangan dengan kerajaan China berhubung kawasan pertindihan seperti yang didakwa kerajaan negara tersebut.

“Kerajaan China cakap (ada kawasan projek itu dibuat) di kawasan bertindih dan kalau di kawasan bertindih, kita (kerajaan Malaysia dan kerajaan China) bincanglah.

“(Kerajaan China) tidak menghalang kita (dan minta kita) tangguhkan projek di kawasan yang dibuat dalam Malaysia. Jadi, percanggahan apa yang kita hendak kompromi,” tegasnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*