Dakwa Anwar perdaya Agong, MB Kedah berdepan tindakan saman. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Anwar, 75, yang juga plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.
Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk “Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena ‘pikiaq’.
Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.
Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.
Turut baca :
- Pasangan kekasih bertindak ‘kejam’, buang bayi dalam sungai ditahan
- KP JPJ ‘buka cerita’ pernah jadi mangsa penjenayah teksi haram di KLIA
Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.
Anwar mendakwa pada 16 November lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.
Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Datuk SN Nair ketika dihubungi berkata saman itu telah difailkan pada jam 4.30 petang semalam.
Leave a Reply