‘Dah macam tin sardin’, APMM tahan bot sumbat 20 penumpang ke Pulau Perhentian

Sebuah bot pelancong yang membawa lebih muatan hingga 20 penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di muara Sungai Besut, semalam.

Bot berkenaan, yang dalam perjalanan dari Jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian, ditahan pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Besut sekitar jam 11 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua penumpang, termasuk tujuh kanak-kanak, tidak memakai jaket keselamatan.

“Selain membawa lebih muatan, bot tersebut juga didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut,” katanya.

Menurut beliau, tindakan pengendali bot yang mengabaikan aspek keselamatan demi keuntungan ini adalah amat serius kerana ia boleh membahayakan nyawa penumpang.

Susulan itu, bot berkenaan telah disita dan dibawa ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“APMM akan mempertingkatkan rondaan berkala di kawasan pelancongan seluruh negeri bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim,” tambahnya.

Baca juga :

Sindiket tawaran pinjaman: Ziana Zain kunci mulut bakal disiasat SPRM

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*