Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan cuti semua menteri dan timbalan menteri dibekukan susulan situasi banjir buruk yang kini melanda Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.
Beliau turut mengarahkan semua anggota Jemaah Menteri turun padang dan membantu rakyat yang terkesan akibat bencana ekoran Monsun Timur Laut itu.
“Semua menteri diminta terus tugas, (saya mengarahkan mereka) turun (turun padang).
“Ya, cuti (menteri dan timbalan menteri) akan beku,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17, Putrajaya, dan makan tengah hari di Taman Warisan Pertanian, lapor Utusan Malaysia.
Semalam Anwar dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan bersama enam kerajaan negeri yang terjejas banjir akan memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjamin sepanjang Monsun Timur Laut ini,
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), banjir kali ini dijangka berlaku lebih teruk dalam tempoh 10 tahun di enam negeri, terutama di Pantai Timur, berbanding ‘bah kuning’ pada 2014.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan situasi banjir apabila air sungai tidak dapat keluar ke laut.
Katanya, kerajaan juga sudah melakukan siap siaga awal, termasuk mengaktifkan sistem amaran awal oleh METMalaysia serta memastikan semua pasukan keselamatan lebih bersedia.
Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memantau bencana dan situasi semasa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Setakat ini, katanya, seramai 82,000 anggota keselamatan pelbagai agensi telah dikerah ke negeri-negeri dilanda banjir termasuk 5,107 aset darat, air dan udara, serta 30,260 jaket penyelamat disediakan bagi kegunaan penyelamatan mangsa.
Baca juga :
Leave a Reply