Curi bumbung zink milik rakyat, menteri ‘diheret’ ke mahkamah

Angkara mencuri bantuan bumbung logam yang sepatutnya diserahkan kepada rakyat, seorang menteri kabinet Uganda telah dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Wilayah Karamoja, Mary Goretti Kitutu mungkin berdepan dengan hukuman penjara akibat skandal pencurian ribuan kepingan logam itu.

Sepatutnya mengagihkan bahan bumbung kepada penduduk Karamoja, Mary malah memberikan ‘bantuan’ itu pada saudara-mara dan pegawainya.

Enggan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut, Mary dikenakan tahanan reman kerana mahkamah tidak membenarkan menteri itu diikat jamin.

“Saya telah memahami pertuduhan itu dan ia tidak benar,” jawabnya dengan tegas selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Selain wanita itu, terdapat 10 orang lagi tokoh ternama kerajaan yang didakwa menerima bumbung zink yang dicuri itu, lapor BBC News.

Naib presiden, perdana menteri, speaker parlimen dan menteri lain dikatakan turut terlibat dalam skandal rasuah kehilangan 14,500 kepingan zink itu.

Difahamkan, ada di antara penerima zink memaklumkan kepada jawatankuasa penyiasat parlimen bahawa mereka tidak pernah meminta bumbung itu.

Perdana Menteri Uganda pula bertindak mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menyeru pegawai lain untuk mengembalikan bumbung tersebut.

Media tempatan melaporkan, seorang menteri terpaksa mencabut sebahagian zink dari kandang kambingnya untuk memulangkan bumbung bantuan itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*