
Dua lelaki lingkungan usia 50-an yang cuba meloloskan diri daripada kewajipan berpuasa akhirnya kecundang apabila dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika leka menikmati hidangan teh tarik dan roti bakar di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai, pagi tadi.
Serbuan dalam Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan itu dilakukan pada pukul 11.05 pagi selepas pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan di premis kayu tersebut, yang sengaja dikunci dari bahagian belakang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, taktik licik kedua-dua lelaki itu terbongkar apabila pasukan penguat kuasa terpaksa memasuki premis menerusi tingkap setelah mendapati pintu belakang dikunci rapat.
“Seorang daripadanya yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat untuk minum di situ bersama rakannya merupakan tukang rumah.
“Namun, alasan kesihatan bukanlah tiket untuk makan secara terbuka di tempat awam, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa,” katanya ketika ditemui pemberita dalam operasi tersebut. Turut hadir dalam operasi itu ialah Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Akmal Nadzim Abdullah.
Mengulas lanjut, Rahmad menegaskan bahawa kesalahan ini tertakluk di bawah Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi pesalah kali pertama.
Leave a Reply