Cikgu terkedu selepas ‘invite’ ibu masuk grup WhatsApp kelas anak

TIADA ibu yang pernah bersedia untuk kehilangan anak-anak, apatah lagi pada usia yang masih kecil.

Namun, seorang wanita dikenali sebagai Sue terpaksa menerima hakikat itu selepas anak keduanya, Adra Marissa meninggal dunia 13 September tahun lalu.

Menurut Sue, arwah merupakan anak kedua daripada empat beradik yang meninggal pada umur enam tahun atas sebab yang tidak dapat dijelaskan sehingga ke hari ini.

“Dia meninggal di tadika. Tapi memang sebelum ni dia kerap pengsan. Itu kali kelima dia jatuh, terus ‘tak ada’. Bawa pergi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dah tak boleh selamatkan dah.

“Masa pertama kali dia jatuh tu memang kami dah bawa dia buat pemeriksaan. Dia tengah follow up pakar dah. Setiap kali bawa ke hospital, memang dia normal sebab tiada sakit apa-apa.

“Sepatutnya bulan November ada temu janji pemeriksaan kepala tapi tak sempat. Hasil bedah siasat pun tak jumpa penyakit apa,” ujar Sue kepada mStar pada Selasa.

Kisah pemergian kanak-kanak itu tular di aplikasi TikTok selepas Sue memuat naik tangkap layar mesej yang diterimanya daripada seorang guru sekolah rendah.

Guru itu menghantar pautan kepada Sue untuk menyertai grup WhatsApp ibu bapa kepada murid darjah satu kerana dia sudah mendaftarkan nama arwah di sebuah sekolah.

Dalam jawapan balasnya, Sue memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia, sekali gus mengejutkan guru itu yang belum mengetahui berita tersebut.

“Itu cikgu sekolah rendah, dia jemput untuk masuk grup darjah satu. Memang dah daftar lama (persekolahan arwah), dari awal tahun 2024 lagi,” ujarnya yang menetap di Selangor.

Menurut Sue, dia juga sebak apabila melihat kanak-kanak lain yang seusia dengan arwah dapat menjalani kehidupan normal dan boleh ke sekolah.

“Setiap video (media sosial) yang lalu, cepat-cepat saya scroll. Pagi semalam lepas hantar kakak (arwah) ke sekolah, tengok budak-budak darjah satu, terus sebak.

“Terus kami ziarah kubur arwah. Tak mampu nak buat apa-apa selain menangis saja kat situ. Adik-beradik arwah selalu sebut-sebut. Kalau beli apa-apa, mesti tanya mana untuk Adra?

“Saya kata dia dah ada kat syurga. Saya pesan, kalau rindu arwah, kita sama-sama usaha untuk ke syurga juga. Solat jangan tinggal kalau nak jumpa arwah kat syurga. Sekarang mereka dah faham arwah Allah yang jaga,” ujarnya.

Menurut Sue, dia menjalankan perniagaan secara affiliate di TikTok, namun sudah lama tidak bersiaran langsung (live) kerana tiada semangat selepas pemergian anaknya.

Mengulas perkongsian tularnya di TikTok, Sue berkata dia tumpah air mata membaca segala komen serta doa yang dititipkan netizen.

“Saya baca sambil nangis. Sebelum ini pernah post, bila baca-baca buat saya lagi sedih sebenanrya, makin rindu. Tu yang dah lama tak post.

“Nak fokus pada perniagaan saja. Cuma semalam saya saja la post, tak sangka tular lagi,” ujar Sue.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*