Cikgu ‘naik angin’ setelah ‘kantoi’ hisap rokok dalam stor

Seorang guru didakwa bertindak luar kawalan apabila menampar, menumbuk serta mencekik leher empat anak muridnya dalam kejadian di sebuah sekolah agama di sini, petang kelmarin.

Guru lelaki berusia 48 tahun itu bertindak demikian dipercayai berang setelah tiga murid berusia 10 dan 11 mengintainya menghisap rokok di dalam sebuah stor.

Guru terbabit juga didakwa memarahi beberapa orang murid yang lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, susulan kejadian seorang bapa dan tiga ibu kepada murid yang menjadi mangsa kekerasan guru terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Ayer Baloi di sini.

“Hasil siasatan awal, murid-murid berkenaan semasa balik dari sekolah dalam keadaan menangis dan badan mereka menggigil dan telah mengadu kepada keluarga masing-masing.

“Disebabkan tidak berpuas dengan tindakan yang dilakukan oleh guru tersebut, mereka (ibu bapa) membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku ke atas anak-anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohammad Shofee berkata, salah seorang murid telah mengalami sakit kecederaan di bahagian atas dan kening kiri.

Jelasnya, siasatan yang dijalankan ke atas guru tersebut, lelaki itu mengakui marah kerana salah seorang muridnya telah mengintai ketika sedang menghisap rokok di kawasan stor sekolah.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan ke atas guru tersebut kerana polis masih menunggu arahan perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR ) sebelum meneruskan siasatan kes seorang guru agama lelaki itu.

Menurut beliau, polis telah mengeluarkan notis Pol 59 kepada empat murid tersebut bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Pontian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*