SEORANG wanita berusia 42 tahun maut disyaki ditikam bekas suaminya di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa adalah ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat 13 kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan kejadian dikatakan berlaku sekitar 3 pagi.
“Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas suami kedua mangsa dan berpisah sejak enam tahun lepas.
“Mangsa sebelum itu pernah berkahwin dan dikurniakan tiga anak (dengan suami pertama),” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Muhamad Zaki berkata, motif awal kejadian dipercayai akibat cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai teman lelaki dan suspek ingin mengajak agar mangsa kembali kepadanya.
Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi, wanita itu dikatakan bertengkar dengan suspek di dalam bilik di rumah itu sebelum mendengar jeritannya.
“Selepas jeritan, mangsa dilihat keluar dari bilik dalam keadaan berlumuran darah sebelum rebah di ruang tamu.
“Suspek yang berusia 51 tahun kemudian berjaya ditahan tidak jauh dari rumah itu selepas polis menerima laporan daripada anak saudara mangsa yang tinggal bersama,” katanya.
Menurut Muhamad Zaki, polis merampas satu pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek pada Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Leave a Reply