Cabul 4 kanak-kanak, jurulatih pusat seni pertahan diri diberkas

Seorang jurulatih di sebuah pusat seni mempertahankan diri ditahan polis kerana dipercayai mencabul empat kanak-kanak perempuan berusia 7 hingga 9 tahun dalam beberapa kejadian berasingan antara Oktober dan September tahun ini.

Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan sekitar 4 petang di sebuah pusat membeli-belah, Khamis lalu selepas menerima laporan pertama daripada salah seorang ibu mangsa pada 1.53 tengah hari pada hari berkenaan.

“Mangsa pertama merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, dipercayai telah dicabul oleh suspek semasa berada dalam tandas pusat mempertahankan diri tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan kejadian itu pihaknya setakat ini menerima empat laporan polis berkaitan kejadian yang sama melibatkan mangsa yang berbeza.

Iqbal berkata suspek yang merupakan seorang penuntut kolej swasta di Lembah Klang menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri selama setahun.

Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*