Cabar enakmen syariah Kelantan : Pakar perlembagaan anggap tindakan Nik Elin Zurina satu kemenangan besar umat Islam dalam negara

“SAYA buat ini untuk semua.”

Demikian kata peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mempertahankan tindakannya dan anak, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyen mencabar 18 Enakmen Kanun Jenayah (1) Kelantan 2019.

Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Namun, keputusan itu disifatkan sebagai satu pengukuhan terhadap perundangan Islam di Malaysia.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, keputusan tersebut dilihat secara langsung mengesahkan kedudukan undang-undang Islam di bawah perundangan di peringkat Persekutuan.

Cabar enakmen syariah Kelantan : Pakar perlembagaan anggap tindakan Nik Elin Zurina satu kemenangan besar umat Islam dalam negara
Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

 

Ini kerana menurut beliau, Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam Mahkamah Syariah adalah selari dengan kanun keseksaan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Mahkamah Persekutuan ketika ini hanya melaksanakan salah satu daripada tiga jenis hukuman yang ditetapkan di bawah perundangan Islam iaitu hukuman takzir.

“Tiada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-duanya melaksanakan hukum takzir.

“Bezanya, mahkamah syariah bersumberkan undang-undang dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala mahkamah sivil mengikut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, dengan keputusan tersebut, umat Islam seharusnya tidak bimbang berhubung kedudukan Islam di bawah perundangan negara.

Malah tegasnya, perkembangan itu juga seharusnya diraikan sebagai satu kemenangan besar kepada orang Islam dalam negara.

“Ini kerana dengan keputusan ini, Islam tidak lagi hanya dilihat sebagai undang-undang negeri dan demikian sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat memutuskan 16 daripada 18 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ia membabitkan Seksyen 11 mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia) dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Enakmen lain yang diisytihar tidak sah termasuk Seksyen 31 berkaitan memberi maklumat palsu, Seksyen 36 (mabuk), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya di Institut Pemikiran Dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) berkata, keputusan berkenaan juga tidak bermaksud pelaku kepada kesemua kesalahan yang diperuntukkan dalam enakmen berkenaan terlepas daripada hukuman.

Sebaliknya, ujar beliau, perkembangan itu bakal menyaksikan pelaksanaan perundangan yang lebih menyeluruh kerana undang-undang seumpama itu masih ada dalam undang-undang Persekutuan.

“Sebagai contoh bagi kesalahan liwat, jika ia dibicarakan di mahkamah syariah dan kes itu membabitkan antara orang Islam dan bukan Islam, yang kena hukum hanyalah orang Islam.

“Jadi yang bukan Islam akan bebas. Tapi kalau liwat ini dibicarakan di Mahkamah Sivil, dua-dua kena bicara dan boleh dihukum. Jadi yang mana adil?” soalnya.

Ujarnya, dalam isu tersebut, yang membezakan antara Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Syariah adalah bentuk hukuman yang dikenakan terhadap pesalah.

Namun, beliau berkata, langkah bagi meminda hukuman tersebut boleh dilakukan dengan menggubal undang-undang tersebut di Parlimen.

“Kalau mungkin ada ahli politik berasakan pelaksanaan undang-undang (bentuk) hukuman tidak menepati nilai Islam, mereka boleh gubal perkara itu di Parlimen,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*