C4 ulangi gesaan, siasatan rasuah terbaru sia-sia tanpa reformasi SPRM

C4 ulangi gesaan, siasatan rasuah terbaru sia-sia tanpa reformasi SPRM. Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan amalan rasuah yang dilakukan kerajaan terdahulu akan menjadi sia-sia jika SPRM tidak melakukan pembaharuan, kata sebuah kumpulan antirasuah.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menyedari SPRM sedang menyiasat perbelanjaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membelanjakan RM600 bilion dan dakwaan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin memberi Umno berjuta-juta ringgit untuk membantu parti itu semasa PRN Sabah 2020.

C4 mempersoalkan mengapa SPRM tidak menjalankan siasatan ketika pentadbiran PN selain mendakwa badan itu kelihatan berkhidmat untuk kepentingan kerajaan yang memerintah dan tidak bertindak secara bebas.

“Bekas perdana menteri Najib Razak hanya disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung skandal 1MDB selepas kerajaan Barisan Nasional pimpinannya kehilangan kuasa pada 2018.

“Begitu juga, bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hanya disiasat melibatkan kes rasuah dalam kes terowong dasar laut Pulau Pinang selepas Pakatan Harapan digulingkan dan digantikan oleh PN pada 2020,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ia menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap SPRM, sambil menambah bahawa adalah jelas agensi itu tidak dapat berfungsi dengan baik dalam keadaan semasa tanpa pelaksanaan reformasi sistemik.

Kumpulan itu berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mesti disingkirkan daripada jawatan itu dan digantikan oleh seseorang yang mempunyai rekod prestasi lebih baik dengan memetik isu pemilikan saham Azam.

Tambahnya, SPRM tidak boleh berada bawah Pejabat Perdana Menteri untuk bertindak secara bebas daripada eksekutif.

Turut baca :

“Satu jawatankuasa khas mesti ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi yang telah lama tertangguh kepada struktur SPRM, melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk penubuhan suruhanjaya bebas rasuah (IACC),” katanya.

C4 juga mengulangi gesaan agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Rahsia Rasmi dipinda untuk melindungi orang dalam yang mendedahkan amalan rasuah dengan lebih baik.

Pada Selasa, sumber berkata SPRM akan memanggil bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Muhyiddin berhubung dakwaan Annuar bahawa Muhyiddin memberi Umno berjuta-juta ringgit untuk membantu parti itu semasa PRN 2020.

Sementara itu, SPRM dilaporkan akan memanggil Muhyiddin, Tengku Zafrul Aziz dan Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan perbelanjaan RM600 bilion oleh kerajaan pimpinan PN.

C4 ulangi gesaan, siasatan rasuah terbaru sia-sia tanpa reformasi SPRM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*