Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap buruh binaan yang juga individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebat, kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes khalwat berulang.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas membenarkan permohonan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie yang memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohd Affendi Awang, 42.
Mahkamah turut mengeluarkan notis kepada penjamin dan menetapkan 20 November depan bagi sebutan waran tangkap.
Ini adalah kesalahan ketiga dilakukan tertuduh, yang sebelum ini pernah dihukum kerana kesalahan sama pada Februari lalu.
Mohd Affendi sebelum ini dihukum empat sebatan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Selain itu, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Baca juga :
Leave a Reply