Bunuh penguat kuasa JAIP, 2 pengikut ‘Tuhan Harun’ terlepas tali gantung

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menggantikan hukuman gantung dua pengikut Tuhan Harun kepada hukuman penjara 40 tahun kerana membunuh ketua penolong pengarah bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk mengetepikan hukuman gantung mereka.

Sumustapha dikenakan hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap, sementara Shamsinar dikenakan 12 kali sebatan, kata Tengku Maimun menurut Sinar Harian yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan Nordin Hassan.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki itu yang didapati bersalah membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.

Raffli, 49, ditembak di depan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 10 Nov 2013.

Rayuan mereka kemudian ditolak Mahkamah Rayuan pada 8 Feb 2018 dan Mahkamah Persekutuan pada 29 Nov 2018.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat yang lebih dikenali Tuhan Harun turut didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan berkenaan.

Tetapi, tuduhannya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos tahun sama akibat masalah pernafasan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*