Polis akan merakam keterangan anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham, serta pemandu Proton Iriz yang dikatakan melakukan buli jalan raya terhadap wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kedua-duanya dipanggil untuk membantu siasatan kes terbabit.
“Hasil penelitian terhadap rakaman video dimuat Nurul Ilham Anwar semalam, kami dapati kejadian berlaku di Kilometer 307, Lebuhraya Utara Selatan ketika kereta dipandunya berada di lorong sebelah kanan lebuh raya.
“Proton Iriz dilihat dipandu dengan agak perlahan dan dikatakan menekan brek beberapa kali membuatkan Nurul Ilham berasa bahaya dengan cara pemanduan pemilik kereta terbabit,” katanya pada kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dialami kedua-dua belah pihak.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Kes siasat mengikut Seksyen 6(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN) 166/1959 kerana kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Nurul Ilham menerusi satu perkongsian di Twitter semalam, mendakwa menjadi mangsa buli jalan raya ketika memandu bersama seorang anaknya yang berusia dua tahun.
Menurut Nurul Ilham, kejadian bermula ketika menghampiri sebuah plaza tol dan pemandu Proton Iriz itu membunyikan hon ke arahnya ketika dia sudah memberikan isyarat ke kiri untuk masuk ke lorong Touch n Go.
Nurul Ilham turut memuat naik satu rakaman video kejadian itu di Twitter. Berdasarkan video berdurasi 14 saat itu, pemandu Proton Iriz hijau terbabit kelihatan beberapa kali menekan brek di lorong laju.
Leave a Reply