Budak perempuan 5 tahun didera hingga maut di Ipoh, ibu bapa angkat dicekup

POLIS menahan sepasang suami isteri yang mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut di Ipoh, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 9.45 pagi Isnin.

“Pihak hospital menerima seorang kanak-kanak perempuan di Wad Kecemasan Zon Merah untuk resusitasi namun disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan disyaki dipukul dengan objek tumpul sebelum melaporkan kepada polis.

“Susulan itu, polis membuat tangkapan terhadap wanita berusia 27 tahun dan suaminya berusia 66 tahun di sebuah rumah di Taman Malkop Silibih, bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau lagi, pegawai perubatan itu memaklumkan mangsa dibawa ke zon merah wad kecemasan untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa yang dibawa dari rumah ke hospital, mendapati kesan lebam di seluruh anggota badannya dan kanak-kanak itu disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul.

“Selain itu terdapat kesan luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Ipoh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*