Boikot KK Mart bertentangan sunnah Rasulullah – Mufti Perak

Mufti Perak menggesa umat Islam menghentikan boikot terhadap KK Mart kerana respons terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh kedai serbanekaa itu sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam.

Wan Zahidi Wan Teh berkata, mengikut kaedah kehakiman Islam, rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya, dan menerusi tindakan susulan KK Mart, tuduhan menghina Islam tidak terbukti.

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ternyata kewujudan rukun ini tidak dapat dibuktikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada sidang media di Jabatan Mufti Negeri Perak hari ini, Wan Zahidi berkata, apabila isu ini disuntik dengan sentimen kebencian dan kemarahan, cara masyarakat menanganinya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat.

Katanya, tindakan memboikot sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW, memetik sirah mengenai pembentukan piagam Madinah.

“Rasulullah SAW membentuk piagam Madinah bagi mengatur hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama yang ditubuhkan di Madinah,” menurutnya.

“Piagam ini menyatakan bahawa warga bukan Muslim membentuk satu ummah bersama umat Islam. Diri dan harta benda mereka dilindungi sama seperti harta benda warga Muslim.”

Wan Zahidi menjelaskan, beliau hanya mengeluarkan kenyataan ini sekarang kerana perlu mengambil masa untuk membuat rujukan ilmiah, selain mengambil kira perkembangan semasa.

Katanya, kenyataan tersebut juga perlu diterangkan bagi membendung tindakan ekstrem seperti membakar dan merosakkan premis kedai serbaneka tersebut.

Mac lalu, tercetus kontroversi membabitkan KK Mart apabila tular di media sosial gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di salah sebuah premisnya di Bandar Sunway yang membawa kepada tindakan boikot.

Pengurusan KK Mart memohon maaf susulan itu namun pada 26 Mac, pengasas KK Mart Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui didakwa Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.

Turut didakwa pengarah bagi syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*