BN-PH bentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka

Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengesahkan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) di negeri ini selaras dengan perkembangan politik semasa di peringkat Persekutuan.

Ini bermakna lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dahulunya berada dalam blok pembangkang bersama dua lagi ADUN Perikatan Nasional (PN), kini bertukar posisi ke blok kerajaan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, hasil pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah mencapai kata sepakat untuk mengangkat semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

BN-PH bentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka
ADLY Zahari bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka

Jelas beliau, perbincangan bersama BN Melaka juga telah memberi ruang kepada lima ADUN PH untuk duduk di blok kerajaan dalam Sidang DUN yang bermula semalam.

“Ini dapat dilihat menerusi perubahan kedudukan susunan ADUN dalam dewan serta pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu. Secara tidak langsung semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut dibawa di Melaka.

“Kerajaan ini (Melaka) adalah Kerajaan Perpaduan. Dalam tempoh yang singkat banyak penarikan yang kita buat, tapi saya yakin bahawa hasrat untuk memastikan kerajaan stabil dan melaksanakan pelbagai program yang berkaitan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, semangat kerjasama antara BN dengan PH di peringkat Persekutuan melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akan direalisasikan di Melaka.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini bentuk kerjasama itu belum diputuskan kerana perlu mendapat panduan daripada kepemimpinan tertinggi parti.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerjasama yang baharu dibentuk itu diharap dapat diterjemahkan dengan semangat yang lebih baik pada masa depan.

Tambah Ahli Parlimen Alor Gajah itu, kerajaan negeri yang amat stabil berjaya dibentuk di Melaka kerana kini terdapat 26 daripada 28 ADUN di blok kerajaan.

Selain Adly yang juga ADUN Bukit Katil, empat lagi wakil rakyat PH ialah ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Blok pembangkang sekarang hanya diwakili dua wakil rakyat PN iaitu ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*