Bimbang anak perempuan beratur panjang masuk ke dewan konsert K-pop, bapa menyamar pengawal peribadi puteri Selangor didenda S$5,000

SINGAPURA: Seorang lelaki mahu anak perempuannya menghadiri sebuah konsert K-pop di Stadium Tertutup Singapura, tetapi bimbang akan keselamatannya dan tidak mahu anak remajanya beratur panjang untuk memasuki dewan konsert.

Dia kemudian menggunakan muslihat seolah-olah anak perempuannya adalah seorang puteri daripada kerabat diraja Selangor dan berpura-pura menjadi pengawal keselamatan yang mengiringinya ke konsert itu.

Tipu daya mereka terbongkar apabila penganjur acara tersebut menyedari mereka bukan seorang puteri dan pengawal peribadi, dan lelaki tersebut didenda S$5,000 oleh mahkamah pada Isnin (29 Jul).

Identiti rakyat Singapura berusia 49 tahun itu tidak boleh didedahkan kerana anak perempuannya masih bawah umur, menurut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersekongkol dengan anak perempuannya untuk menipu dengan menyamar diri, dengan tuduhan kedua iaitu memasuki premis secara haram turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

“PUTERI” DAN PENGAWAL PERIBADINYA

Mahkamah diberitahu bahawa anak perempuan lelaki terbabit, yang berusia 17 tahun, membeli tiket bagi dua persembahan Jelajah Dunia Enhyphen di Singapura pada Januari 2024.

Bapanya membantu membiayai harga tiket yang dibeli anaknya serta seorang rakan.

Pada 20 Jan, pesalah menghubungi penganjur acara Anschutz Entertainment Group (AEG) selepas mendapatkan nombor telefon mereka secara online.

Dia memberitahu pihak penganjur bahawa seorang puteri daripada keluarga diraja Selangor akan menghadiri konsert berkenaan pada 20 dan 21 Jan, dan telah memperolehi tiket bagi konsert tersebut.

Menjelaskan bahawa dia adalah pengawal peribadi puteri itu, lelaki tersebut memberitahu pihak penganjur bahawa dia tidak mempunyai tiket ke konsert berkenaan. Dia meminta akses untuk menjaga keselamatan puteri tersebut.

Sebagai respons, pihak penganjur memintanya datang ke konsert lebih awal pada 20 Jan untuk membantu memudahkan kemasukannya. Lelaki tersebut kemudian mengongsi muslihat itu dengan anak perempuannya.

Menurut kertas pertuduhan, dia berbuat demikian agar anak perempuannya tidak perlu beratur untuk memasuki konsert tersebut, dan supaya dia dapat mengawasinya sepanjang tempoh konsert,

Pada 20 Jan, lelaki tersebut, anak perempuannya serta rakannya pergi ke konsert itu bersama-sama.

Lelaki tersebut lengkap berpakaian sut agar kelihatan seperti seorang pengawal peribadi.

Sebaik tiba di lokasi konsert, lelaki itu memberitahu pihak penganjur bahawa dia adalah pengawal peribadi puteri tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*