Bertengkar kerana RM20, pekerja ladang maut ditikam rakan

Hanya kerana RM20, seorang pekerja ladang kelapa sawit maut ditikam berkali-kali oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa warga Filipina berusia 37 tahun berkenaan dikatakan bertanya mengenai duit RM20 yang diberi isterinya kepada suspek untuk membeli ikan dan roti pada minggu lalu.

“Bagaimanapun suspek dikatakan tidak ada membeli barang berkenaan atas alasan kedai tutup. Wang terbabit juga tidak dipulangkan semula kepada isteri mangsa.

“Malahan isteri mangsa juga sebelum kejadian pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek namun belum membayar wang tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau memaklumkan, pertengkaran berlaku kerana suspek tidak mengaku dan enggan memulangkan wang yang diperolehi dari isteri mangsa.

“Ketika pertengkaran mulut berlaku, suspek bertindak masuk ke dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil sebelum menyerang mangsa dengan menikamnya berkali-kali di tubuh.

“Mangsa kemudiannya berusaha masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan berdarah untuk mengambil senjata bagi mempertahankan diri. Bagaimanapun, mangsa rebah di tanah lapang berhadapan dengan rumahnya sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, suspek warga Indonesia berjaya ditahan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan sekitar pukul 12 tengah hari semalam dan pihaknya turut menahan dua lelaki dua wanita dewasa warga Indonesia dan Filipina berusia 20 hingga 60 tahun.

Baca juga :

Jururawat reka cerita diculik, dipukul sampai keguguran terbongkar

Takut dikutip ‘scammer’, mahasiswa serah barang kemas ibu RM100,000

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*