“Bermodalkan tabung, bawa pulang RM15,000 sebulan… Kegiatan licik dua beradik cari ‘rezeki’ haram terbongkar

Kegiatan licik dua beradik mencari ‘rezeki’ haram dengan mengutip derma kononnya bagi membiayai pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkhla, Thailand sejak lima tahun lalu terbongkar selepas diberkas di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram di sini, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 54 dan 47 tahun itu diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi di premis kediaman yang dijadikan tempat tinggal pengutip derma sindiket berkenaan.

Dua suspek lelaki itu didakwa mengeksploitasi warga asing serta orang tua untuk mengutip derma.

Difahamkan sindiket ber­kenaan berjaya mengutip sumbangan antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan setiap pengutip derma akan diberi upah RM1,000.

Kedua-dua suspek berkenaan yang juga warga Thailand dilaporkan masuk ke negara ini melalui pas lawatan sosial dan duit diperolehi untuk kegunaan sendiri.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan sama, polis turut menyelamatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 70 tahun dipercayai dijadikan sebagai pengutip derma oleh sindiket berkenaan.

“Kedua-dua lelaki tempatan itu merupakan ketua sindiket kutip derma dan mereka disyaki berperanan sebagai pemandu serta perancang kegiatan itu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak perte­ngahan 2019 dengan menjadikan kawasan sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran,” katanya semalam.

Kumar berkata, pihaknya turut merampas dua buah kereta, enam tabung tertera tulisan sumbangan ikhlas untuk pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim dan fail berisi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan ikhlas yang menggunakan kepala surat didakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ).

Selain itu, katanya, polis turut merampas empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping resit penghantaran wang, cap atas nama madrasah dan wang tunai berjumlah RM9,158.

“Modus operandi sindiket itu ialah memperdaya orang ramai untuk mempercayai bahawa kutipan derma akan digunakan untuk membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkhla,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil ujian sa­ringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ketamin dan mereka direman tujuh hari hingga Selasa depan.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalanan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, kesemua ­mangsa diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan selepas permohonan perintah perlindungan sementara selama 21 hari dibenarkan majistret.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*