Seorang lelaki di Aceh, Indonesia diprovokasi oleh kata-kata isterinya sehingga sanggup menikam wanita itu dan tiga iparnya, lapor laman berita Merdeka.com semalam
Seorang mangsa dilaporkan meninggal dunia, manakala dua lagi terpaksa dimasukkan ke hospital.
Ketua Unit Siasatan dan Jenayah Balai Polis Aceh Selatan, Deno Wahyudi berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu di rumah keluarga berkenaan di Daerah Bakongan Timur.
“Awalnya pelaku bertengkar dengan isterinya. Dia marah isterinya menuduh dia daripada keturunan yang tidak baik. Pelaku merasa dirinya dihina,” kata Deno.
Mendengar kata-kata itu, suspek yang bernama Jamaludin, 42, mengambil sebilah gunting dan menikam isterinya, Hafnidar, 41.
Suspek juga menyerang adik iparnya, Mustawa yang cuba meleraikan pergaduhan. Mangsa berlumuran darah akibat ditikam di dada dan maut ketika dikejarkan ke hospital.
Dua lagi ipar suspek, Nurhadisah dan Ros Mawar turut ditikam ketika cuba membantu mangsa. Jeritan mereka didengari penduduk setempat yang kemudiannya datang ke rumah tersebut.
Suspek kemudian melarikan diri ke tingkat dua rumah tersebut.
Polis kemudian tiba di lokasi kejadian dan cuba menahan Jamaludin. Seorang anggota polis bagaimanapun cedera akibat diserang suspek menggunakan sebilah parang.
Leave a Reply