Benci, jijik… ‘Kami tak mahu jumpa ayah lagi – Anak luah rasa kecewa setelah dirogol

Perbuatan jijik seorang bapa merogol dan mencabul dua anak perempuan kandungnya pada April dan bulan lalu terbalas apabila dia dipenjara selama 27 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar warkah yang ditulis dua beradik berusia 11 dan 14 tahun yang dibacakan pihak pendakwaan sebelum pemberat hukuman dilakukan.

“Kami tak mahu lagi jumpa bapa. Dia buat kami trauma, takut dan benci padanya. Kami berasa jijik atas perbuatannya terhadap kami.”

Tertuduh yang berusia 45 tahun, bekerja sebagai pemasang jubin didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 kerana mencabul dan merogol dua anak kandung perempuannya.

Kedua-dua perbuatan itu berlaku di kediaman keluarga itu di Batu Pahat antara pukul 2.30 hingga 4 petang, 28 Ogos lalu serta sekitar April tahun ini.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat ibu mangsa yang juga isteri tertuduh pada pukul 10 malam, 28 Ogos lalu memaklumkan dua anak mereka dirogol dan dicabul tertuduh.

Dalam laporan itu, mangsa memberitahu dia dirogol sebanyak dua kali dalam tempoh kurang tiga jam ketika sedang baring di ruang tamu rumah.

Kejadian itu disaksikan adik mangsa, juga mangsa cabul yang baru pulang dari sekolah melalui tingkap, sebelum kakaknya meminta pertolongan.

Selepas menyedari kehadiran salah seorang anaknya, tertuduh menghentikan perbuatan itu namun ‘menyambung’ perbuatan itu semula beberapa jam kemudian, namun mangsa hanya berdiam diri kerana ketakutan.

Ibu mangsa bekerja di kedai jahit pulang ke rumah pada pukul 5.30 petang, melihat dua anaknya dalam keadaan sedih dan gelisah sebelum bertanyakan perkara sebenar.

Mangsa menceritakan kejadian itu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada hari sama dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan mangsa dirogol.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan rogol, manakala tujuh tahun dan tiga sebatan untuk kes amang seksual fizikal.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan pada 29 Ogos lalu.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling ketika dalam tahanan serta pengawasan polis dua tahun sebaik selesai dipenjara, selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK 2017.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*