Bela 6 pesalah bunuh Zulfarhan undang kemarahan ramai, netizen ‘berkampung’ di FB Suhakam

Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membantah hukuman gantung sampai mati ke atas enam pesalah kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain mengundang kemarahan netizen apabila mereka mula ‘berkampung’ di laman Facebook suruhanjaya itu.

Tinjauan Kosmo! Kosmo! di laman Facebook Suhakam mendapati, rata-rata mereka kecewa dengan tindakan Suhakam yang masih ingin membela pesalah kes tersebut.

Malah dakwa netizen lagi, mood ‘malam Jumaat’ mereka juga terganggu akibat tindakan tersebut.

“Tekap seterika kat muka yang bantah ni, tak payah banyak satu tekap je tengok dia ubah tak pendapat dia tu,”kata Haikal Nazri.

Pada masa sama, netizen juga mendakwa tindakan Suhakam itu seolah-oleh menghina keputusan mahkamah dan hakim.

“Suhakam dah mengkritik keputusan panel hakim yang bijaksana. Ini menghina keadilan yang ditegakkan,”tulis Azza.

Turut meninggalkan komen, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Muhammad Afifi.

“Jadi apa solusi yang Suhakam cadangkan untuk atasi masalah ni kalau rasakan hukuman gantung sampai mati tak sesuai buat pesalah?,”soalnya.

Setakat ini, hantaran Suhakam berhubung bantahan itu telah dikongsi lebih 140 kali dan lebih 650 komen telah ditinggalkan oleh pengguna.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Suhakam membantah keputusan oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung kesalahan membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.

Dalam satu kenyataan Suhakam berkata, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah tersebut, suruhanjaya tersebut berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

“Atas dasar tersebut, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua,”jelasnya.

Selasa lalu Kosmo! melaporkan, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*