Beku akaun: BERSATU pertimbang tindakan undang-undang terhadap SPRM, kata Muhyiddin

Bersatu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan akaun parti itu, kata presidennya, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mendakwa adalah tidak salah bagi SPRM untuk terus menyekat akses Bersatu kepada akaun-akaunnya selama lebih 12 bulan.

“Peguam kita sudah pun brief (beri taklimat) kita menyatakan bahawa tuntutan kita untuk akaun kita tu diserahkan kepada kita semula, diaktifkan balik, itu adalah wajar bersandarkan pada undang undang.

“(Undang-undang) mengatakan mereka hanya boleh menahan dalam hanya tempoh 12 bulan. Itu pun tak patut, tapi lepas tempoh 12 bulan mereka masih terus bekukan akaun.

“Kita berpendapat bahawa ini tindakan yang menyalahi undang undang. Malahan dilihat sebagai salah guna kuasa.

“Agensi siapa pun sekalipun termasuk SPRM tak boleh melanggar (undang-undang),” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu di Shah Alam semalam.

‘Terpaksa dapatkan dana daripada ahli’

Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, berkata Bersatu tidak didakwa atas sebarang salah laku dan oleh itu mempunyai hak untuk mencabar tindakan SPRM.

Tambahnya lagi, tindakan agensi anti-rasuah itu telah menyebabkan Bersatu kekurangan sumber kewangan dan menjejaskan operasi parti itu.

Situasi itu menyebabkan Bersatu terpaksa mengumpulkan sumbangan daripada ahli-ahli untuk mengadakan mesyuarat, kata Muhyiddin.

“Jadi bagaimana kita nak manage (urus) kita punya akaun kalau akaun kita yang ada, yang sah ini tak boleh digunakan, nak buka akaun baru pun tak boleh.

“That is very bad (itu sangat teruk) bagi saya, itu satu tindakan melanggar perlembagaan dan undang-undang.

“Hari tu pernah bincang dengan peguam sama ada kita akan ambil tindakan terhadap SPRM, pasal dia yang mengarahkan bank,” katanya.

Tahun lalu, SPRM membekukan dan menyita beberapa akaun bank yang dikaitkan dengan Bersatu.

Menurut kenyataan SPRM, agensi itu sedang menyiasat parti itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu, bendahari Bersatu Rina Harun berkata kewangan parti itu berada dalam keadaan “kritikal” akibat pembekuan akaun tersebut.

Dia berjanji menyelesaikan isu itu dan sedang mencari cara untuk menjana kewangan bagi parti berkenaan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*