Bekas pengurus kanan Malaysia Airport Holding Berhad berdepan 9 tuduhan rasuah

Seorang bekas pengurus kanan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas sembilan pertuduhan kerana menerima suapan RM90,000, antara 2011 hingga 2012.

Bagaimanapun, tertuduh, Zulkeflee Abdullah, 54, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, dia telah diberikan suapan wang berjumlah keseluruhan RM90,000 daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat sebagai dorongan mengesah, mengesyor dan meluluskan permohonan syarikat itu bagi sewaan tapak perniagaan secara promosi di ruang legar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Labuan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara April 2011 hingga Ogos 2012.

Zulkeflee telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) kerana gagal melaporkan SPRM berhubung penerimaan suapan berkenaan.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) Akta yang sama iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat mengendalikan pendakwaan.

Pada prosiding itu, mahkamah menetapkan jaminan RM15,000, selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Dia juga diarahkan untuk melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula, pada 16 Nov depan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*