Bekas pengasuh taska menangis dipenjara 14 bulan

Seorang bekas pengasuh taska menangis selepas dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Nor A’in Ismail, 24, selepas wanita yang baru dua bulan bersalin itu kekal mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan tertuduh diperintah bon berkelakuan baik dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan satu perintah tambahan iaitu khidmat masyarakat selama 120 jam selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu peguam S.Priyalatha yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda tanpa pemenjaraan atas alasan tertuduh mengalami kanser tiroid tahap dua selain anak perempuan yang baru dilahirkan berusia dua bulan mempunyai masalah jantung berlubang.

“Pada waktu kejadian, tertuduh sedang mengandung tujuh bulan..dan ketika itu dia mengalami “mood swing” (mood tidak menentu). Tertuduh memohon maaf kepada keluarga mangsa serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama lagi,” kata peguam itu.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kes-kes seperti ini yang berlaku di taska semakin menjadi-jadi.

Dalam hujahan pemberatan hukuman, Faelly mengatakan dengan satu hukuman berat mampu memberi pengajaran kepada tertuduh dan pemilik premis taska lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

“Dalam kes ini, mangsa adalah kanak-kanak yang tidak mampu berkata apa-apa…mangsa juga tidak boleh melindungi dirinya sendiri.

“Pihak pendakwaan ingin mewujudkan persoalan sekiranya kanak-kanak tersebut adalah anak kita sendiri dan diperlakukan seperti itu di bawah jagaan pengasuh yang diberikan kepercayaan apa perasaan kita sebagai ibu bapa,” kata Faelly.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian seorang wanita yang juga seorang lagi guru taska itu telah memaklumkan kepada ibu mangsa anaknya tidak mahu makan semasa wanita itu mengambil anaknya.

Pada masa sama, guru taska tersebut turut mengadu kepada ibu mangsa, tertuduh yang dikenali sebagai Anne telah memaksa dan menyuap mangsa dengan kasar selain menunjukkan rakaman video mengenai kejadian itu yang dirakam menerusi telefon bimbit.

Mengikut pertuduhan, Nor A’in sebagai seorang yang mempunyai pemeliharan kepada seorang kanak-kanak berusia setahun lima bulan didapati dengan sengaja mendedahkan kanak-kanak itu yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukam melakukan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pada 4.15 petang, 28 Mei lalu.

Justeru pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*