Pertuduhan terhadap Mat Zaki Md Zain itu berkaitan dakwaan subahat membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit pada 13 Jan lalu.
Mahkamah Majistret di sini memindahkan kes bekas ketua perisikan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) Mat Zaki Md Zain dan tujuh lain, yang didakwa membunuh seorang pemandu e-hailing, ke Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Suhaila Selag memindahkan kes Mat Zaki, 58, bersama enam pegawai serta anggota polis dan seorang orang awam itu, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.
Terdahulu, pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu ke atas Mat Zaki.
Dia didakwa bersubahat dengan John Kennedy untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan lalu.
Pertuduhan ke atas Mat Zaki dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minima 30 tahun dan maksimum 40 tahun jika tidak dihukum mati serta hendaklah juga sebat tidak kurang dua belas sebatan, jika sabit kesalahan.
Enam pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Denis Ak Anit, 44, Fabian Ak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, John Kennedy Sanggah, 44, dan orang awam Vivien Fabian, 34, pula, didakwa atas pertuduhan membunuh Nurman mengikut Seksyen 302.
Pada 8 Feb lalu, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Azlan serta Vivien, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh Nurman.
John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh bersama enam lelaki itu.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah, berkata kes bunuh itu lebih bersifat peribadi, serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.
Pada 30 Jan lalu, penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bekas suaminya Nurman.
Leave a Reply