Bekas CEO SMM dakwa ada bukti Hajiji ‘salah guna kuasa’

Bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon menafikan dakwaan dia berpakat dengan pemberi maklumat di sebalik video dakwaan skandal rasuah Adun.

Jontih juga mendakwa memiliki bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor “menyalahgunakan kuasa”.

Menurut Jontih, bukti yang dimaksudkannya adalah “minit mesyuarat lembaga pengarah SMM”, “nota penerangan bercetak kepada ketua menteri” daripadanya dan “pesanan teks daripada ketua menteri”.

“Semua bukti ini disimpan dengan selamat oleh seseorang, di suatu tempat. Saya sanggup untuk menyerahkannya kepada SPRM,” kata Jontih menerusi WhatsApp.

Menjawab soalan Malaysiakini, Jontih berkata, tidak seperti pemberi maklumat itu, dia tidak memohon perlindungan mahupun kekebalan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mengulas dakwaan dia bertindak sebagai “orang tengah” antara pemberi maklumat dan Adun, dia membalas: “Itu penipuan sepenuhnya”.

“Saya tidak pernah jumpa (Timbalan Ketua Menteri) Shahelmey (Yahya) secara peribadi. Saya tidak kenal dia secara peribadi (ayat ini ditulis menggunakan huruf besar untuk penekanan). Kami tidak pernah bercakap secara peribadi, secara berdepan mahupun melalui telefon,” katanya lagi.

Menurut Jontih, dia ada terjumpa Adun Tempasuk Arsad Bistari dan rakan-rakannya di satu acara, namun perbualan mereka tidak merujuk soal pemberi maklumat atau hal ehwal perniagaannya.

“Pemberi maklumat berjumpa dengan para YB (Adun) atas inisiatifnya sendiri,” katanya.

Video Arsad dan Shahelmey merupakan antara lima rakaman yang didedahkan pemberi maklumat kepada Malaysiakini sejak minggu lalu.

Arsad menafikan sebarang kesalahan dan mendakwa video itu disunting dengan niat jahat.

Dakwaan salah guna kuasa

Video memaparkan Jontih pertama kali didedahkan pada 12 November lalu. Dalam video itu, yang dirakam dengan persetujuannya, dia mendakwa ketua menteri yang juga pengerusi SMM masuk campur dalam proses pemilihan berkaitan projek.

Jontih mengulangi dakwaan itu dalam pesanan teksnya, dengan berkata: “Tidak mungkin saya boleh meluluskan permohonan PL (lesen penerokaan perlombongan) secara sendiri.”

Dia juga menyebut nama beberapa Adun lain, termasuk Adun Sindumin Yusof Yacob, sebagai kalangan yang tidak dikenalinya secara peribadi.

Yusof terkait dalam dakwaan skandal rasuah ini apabila dia dikaitkan dengan satu rakaman audio yang diambil daripada salah satu video.

Dia mengaitkan rakaman itu dengan kecerdasan buatan (AI) namun berjanji akan memberi kerjasama kepada siasatan SPRM.

Jontih juga mengulang semula dakwaan yang sebelum mesyuarat lembaga pengarah, ketua menteri akan memintanya memberikan maklumat individu di sebalik syarikat yang terlibat dalam proses permohonan.

“Satu hari atau sekurang-kurangnya sejam sebelum mesyuarat, saya akan beri penerangan kepada CM (ketua menteri) berkenaan seluruh agenda mesyuarat dan tumpuan khas berkenaan permohonan baru.

“Seperti biasa, dia akan tanya saya siapa di sebalik permohonan. Tahu yang dia sentiasa tanya berkenaan hal ini, saya buat persiapan awal cari siapa VIP tersebut.

“Kemudian saya akan bentangkan senarai permohonan yang dapat kelulusan awal untuk diluluskan secara rasmi dalam mesyuarat lembaga pengarah, yang dipengerusikan ketua menteri sendiri. Keputusan akan diminitkan oleh setiausaha syarikat,” katanya lagi.

Jontih juga menjelaskan yang “VIP” tidak semestinya Adun, tetapi boleh juga merupakan ahli perniagaan atau bekas penjawat awam berpangkat tinggi.

‘Sangat kecewa’

Pada hari sama Malaysiakini menyiarkan video Jontih, satu laporan SPRM dibuat ke atasnya di Sabah.

Jontih dituduh memiliki perkaitan dengan pemberi maklumat ketika dia masih berkhidmat di Jabatan Mineral dan Geosains.

Dikatakan bahawa ketika Hajiji mendapat tahu berkenaan perkara itu, dia “sangat kecewa” dan memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak Jontih dengan SMM.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Hajiji untuk mendapatkan respons berkenaan kenyataan terbaru Jontih ini.

Pemberi maklumat yang merupakan seorang ahli perniagaan memiliki lapan video berkenaan perbincangan berkenaan pemulangan sejumlah wang.

Dia mendakwa wang tersebut diberikannya sebagai rasuah kepada ahli politik untuk menyokong permohonannya untuk mendapatkan lesen penerokaan lombong.

Bagaimanapun, dalam video yang disiarkan, bahagian perbualan berkenaan perkara ini telah dipadam. Malaysiakini telah melihat kesemua lapan video secara penuh.

Hajiji mendakwa video tersebut bertujuan melemahkan kerajaan negeri. Ada juga dakwaan bahawa Umno sebagai dalang di sebaliknya, ekoran marah kepada Hajiji dan bekas Adun Umno yang menyokong Hajiji ketika krisis politik Sabah pada tahun lalu.

Bagaimanapun Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin menafikan sebarang penglibatan.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*