‘Bayar hutang atau rumah dibakar’

‘Bayar hutang atau rumah dibakar’.

Tiga individu termasuk seorang wanita yang mengambil upah daripada sindiket ah long menyimbah cat ke rumah mangsa terima padah apabila dicekup polis di sekitar Larkin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, ketiga-tiga suspek itu disyaki menyimbah cat merah ke sebuah rumah di Bandar Putra, Kulai, bulan lalu.

‘Bayar hutang atau rumah dibakar’
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 2.35 pagi itu, wanita berusia 52 tahun terbabit mendapati halaman rumahnya disimbah cat merah setelah terhidu bau cat yang sangat kuat.

Katanya, siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati pintu pagar hadapan serta halaman rumah mangsa telah disimbah cat berwarna merah selain menemukan notis ugutan ditampal pada pagar.

Gambar sekadar hiasan

“Suspek meninggalkan nota ugutan meminta wanita itu membayarkan hutang ah long atau rumahnya akan disimbah cat dan dibakar.

“Satu pasukan tindakan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes serta mengenal pasti suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

“Bertindak atas maklumat pada 7.15 malam semalam, kita telah membuat serbuan di kawasan Larkin dan menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 21 hingga 27 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beng Yeow berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati dua daripada tiga suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek menerima upah daripada sindiket ah long dan disyaki terlibat dengan tiga kes simbah cat di kawasan Kulai.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi membuktikan kes ini selain menyiasat penglibatan suspek dalam kes-kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan dijalankan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*