Batu Puteh: Tiga pemimpin PH sahkan Dr M buat keputusan sendiri

Tiga pemimpin kanan PH hari ini menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad – sewaktu menjadi perdana menteri pada 2018 – membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan negara dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.

Dalam kenyataan bersama, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke berkata Mahathir hanya memaklumkan kepada kabinet selepas keputusan tersebut dibuat.

Ketiga-tiga mereka merupakan anggota kabinet PH ketika itu dengan Wan Azizah menjadi timbalan perdana menteri, Mohamad menjadi menteri pertahanan manakala Loke di Kementerian Pengangkutan.

Untuk rekod majlis mengangkat sumpah anggota kabinet PH diadakan pada 21 Mei 2018.

Menurut Wan Azizah, Mohamad dan Loke, keputusan untuk tidak meneruskan kajian dan tafsiran berhubung pertikaian itu dibuat sendiri oleh Mahathir pada 21 Mei 2018.

Kata mereka, Mahathir memaklumkan secara bertulis keputusan berkenaan kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada kabinet, manakala pemakluman kepada Singapura dibuat pada pagi 23 Mei iaitu sebelum mesyuarat kabinet pertama diadakan.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet,” kata mereka.

Tambah Wan Azizah, Mohamad dan Loke, pemakluman Mahathir dibuat di bawah agena “Hal-hal lain” dalam mesyuarat kabinet berkenaan dan ia bukan dalam bentuk perbincangan untuk menentukan keputusan.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu jika ada sesiapa membantah atau menyokong (keputusan Mahathir) kerana ruang untuk membuat keputusan telahpun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir,” katanya.

Ketika itu Wan Azizah merupakan Presiden PKR, manakala Mohamad mengetuai Amanah dan Loke setiausaha agung DAP.

Mereka mengeluarkan kenyataan selepas Mahathir mendakwa ketiga-tiga pemimpin parti PH itu tidak mengemukakan sebarang bantahan apabila isu tersebut dibawa ke kabinet.

Kenyataan Wan Azizah, Mohamad dan Loke hari ini mengesahkan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang didedahkan minggu lalu.

Menurut dapatan RCI tersebut, Mahathir membuat keputusan bersendirian untuk menggugurkan rayuan terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tanpa pengetahuan kabinet.

Sebaliknya Mahathir hanya memberi taklimat kepada kabinet tentang alasan dia berbuat demikian.

Kata ketiga-tiga ahli parlimen itu lagi, sebagai seorang negarawan Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan tersebut, dan bukannya menyalahkan pihak lain.

“Kami yakin anggota jemaah menteri yang hadir dalam mesyuarat kabinet (pertama) pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” kata mereka.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*