Bapa pulang kerumah berkeadaan mabuk berakhir dengan tragedi

Seorang bapa yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipukul hingga mati oleh anak lelakinya dalam kejadian di Taman D’Ambang Kota, Lukut di sini tengah malam tadi.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa seorang pemandu lori berusia 49 tahun menampar isterinya dan pada masa yang sama berlaku pertengkaran antara mangsa dan anak lelakinya di halaman rumah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa berusia 26 tahun yang memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati sebelum kejadian mangsa mabuk dan bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya iaitu suspek. Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati dengan bapanya yang mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising,” katanya kepada media di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian pada pukul 1.15 pagi. Mayat itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.

“Suspek kemudian ditahan oleh pihak polis pada pukul 1.20 pagi di hadapan rumah mangsa untuk dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama lima hari sehingga 9 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam pada itu, sumber berkata, isteri mangsa tidak melihat bagaimana pergaduhan berlaku, namun terdapat pendedahan bahawa suspek memaklumkan telah memukul bapanya dengan menggunakan sebatang kayu.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan pintu rumah dengan kesan darah di kepala. Pemeriksaan pada mayat itu mendapati terdapat kesan lekuk di bahagian atas kepala serta berdarah, bagaimanapun tiada kesan kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*