Bapa dera anak hingga melecur, direman seminggu

Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mendera anak perempuannya yang berusia dua tahun di Jalan Kuari, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, nenek mangsa membuat laporan berkaitan kejadian itu sekitar pukul 10 pagi, 28 April lalu.

Jelasnya, pengadu berusia 58 tahun itu mendapati cucunya mengalami luka di bahagian kepala, lengan selain terdapat kesan melecur.

“Mangsa memaklumkan dirinya didera bapanya itu semasa berada di rumahnya di Taman Pinggiran Cheras, di sini sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang merupakan bapa mangsa.

“Suspek ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Kuari, di sini kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan dijalankan turut mendapati suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*