Bantu Palestin: Jangan izinkan ‘suara biadab’ membiak – PM Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan segelintir pihak yang mempersoalkan usaha murni kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk diberi rawatan.

Anwar berkata kenyataan yang buat oleh pihak tersebut biadab dan tidak tahu erti kemanusiaan.

Katanya dia terpanggil untuk menjawab satu hantaran daripada seorang individu yang kononnya mengatakan “kalau bawa rakyat Palestin, jangan jejak bumi Sarawak.”

“Semalam saya di Kuching Sarawak untuk (penutupan) Sukan Malaysia (Sukma) dan saya sangat terpanggil untuk menjawab satu telahan daripada seorang yang kata, kononnya ‘kalau bawa rakyat Palestin, jangan jejak bumi Sarawak’.

“Itu pandangan yang paling biadab. Tidak tahu erti kemanusiaan,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Masjid Semalaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin, sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.

Terdahulu seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak memuat naik kenyataan itu di Facebooknya untuk mempersoal tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata individu sebegitu seorang yang tidak faham akan isu kemanusiaan.

“Di mana kemanusiaan ini sehingga sentimen kaum atau wilayah menyebabkan sikap yang begitu?

“Mujurlah ini suara-suara kerdil dan jangan kita izinkan kerana jika diizinkan ia akan membiak, dan menjadi barah,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*